Berita SemasaPolitik

AMK Perlis nyatakan sokongan penuh kepada Adam Adli, Kamil Munim

KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyatakan sokongan penuh kepada calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli dan calon Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim dalam usaha memperkukuhkan kepimpinan sayap muda parti serta memastikan agenda reformasi terus diperjuangkan.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin, berkata kepimpinan kedua-dua pemimpin itu terbukti berwibawa dan konsisten dalam memperjuangkan hak anak muda serta memperkukuhkan PKR.

“Adam Adli merupakan seorang pemimpin yang berprinsip dan berani dalam mempertahankan idealisme perjuangan reformasi.

“Kepimpinannya sebagai Ketua AMK Malaysia serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan membuktikan kebolehannya dalam membawa suara anak muda ke arus perdana politik negara.

“Sementara itu, Saudara Kamil Munim juga menunjukkan kepimpinan yang tegas dan progresif.

“Dengan latar belakang dalam bidang guaman dan politik, beliau bukan sahaja memiliki daya intelektual yang tinggi, tetapi juga berani bersuara demi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azzin berkata, keupayaan Muhammad Kamil dalam menangani isu-isu nasional secara matang dan berstrategi membuktikan kredibilitinya sebagai pemimpin muda yang diperlukan untuk membawa AMK ke tahap lebih tinggi.

“Beliau memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kebajikan anak muda dan memperkukuhkan AMK sebagai sebuah gerakan yang relevan serta dinamik,” katanya lagi.

AMK Perlis menyeru seluruh anggota dan kepimpinan AMK di setiap peringkat untuk bersatu dalam memberikan sokongan kepada Adam Adli dan Kamil Munim.

“Kami yakin AMK akan terus menjadi gerakan yang berdaya maju, berani dan lantang dalam membela rakyat serta memperjuangkan agenda reformasi yang sebenar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button