
Titah adendum: AMK akan buat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang, individu lain
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mendakwa kerajaan menyembunyikan kewujudan perintah adendum dengan menyifatkan tuduhan itu bertujuan mencemar nama baik Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia.
AMK dalam kenyataannya hari ini berkata, perintah tersebut ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
“Dokumen tersebut mengarahkan Jabatan Penjara untuk memendekkan tempoh hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak kepada 23 Ogos 2028 serta mengurangkan jumlah denda kepada RM50 juta,” katanya lagi.
Menurut AMK, Jabatan Penjara hanya menjalankan tugas berdasarkan prosedur rasmi dan dokumen sah yang diterima daripada Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024.
“Tambahan pula, Pejabat Istana Pahang mengesahkan kewujudan titah adendum, yang kemudiannya disahkan oleh Jabatan Peguam Negara untuk digunakan sebagai bukti di mahkamah,” katanya lagi.
AMK turut mengecam kenyataan tidak berasas yang dibuat oleh beberapa individu antaranya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Rosol Wahid, Wan Ahmad Fayhsal, Fadhli Shaari dan S. Subramaniam.
AMK menyifatkan tindakan mereka sebagai cubaan untuk menyebar fitnah terhadap kerajaan.
Sehubungan itu, AMK di seluruh negara akan membuat laporan polis terhadap individu-individu berkenaan.
“Tindakan itu penting bagi memastikan fitnah seperti ini tidak dibiarkan berleluasa dan demi melindungi integriti institusi negara,” menurut kenyataan rasmi tersebut.
AMK turut berkata, kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan undang-undang dalam setiap tindakan yang diambil.
“Mereka juga menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang cuba menggugat kestabilan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






