Amalkan kesederhanaan dan akhlak dalam politik – Asyraf Wajdi
KUANTAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan ahli politik agar mengamalkan kesederhanaan serta menjunjung akhlak Islam dalam berpolitik, sama ada ketika berkawan mahupun berlawan.
Beliau berkata, dunia politik sentiasa berubah dan tiada kawan atau musuh yang kekal, justeru prinsip dan nilai Islam perlu dijadikan panduan dalam setiap tindakan.
“Sayangilah kekasihmu secara sederhana kerana mungkin suatu hari dia akan menjadi musuhmu, dan bencilah musuhmu secara sederhana kerana mungkin suatu hari dia akan menjadi kekasihmu,” katanya.
Beliau memetik hadis riwayat Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini semalam.
Menurutnya, politik bukan medan untuk bermusuhan, sebaliknya wadah untuk membina perpaduan dan menyumbang kepada kebaikan rakyat serta negara.
“Akhlak Islam mengajar kita agar tidak melampau dalam persahabatan mahupun permusuhan.
“Kita perlu bersikap matang dan menjaga ukhuwah walaupun berbeza pandangan politik,” katanya lagi.
Asyraf turut menyeru perwakilan UMNO khususnya golongan muda agar terus melangkah ke hadapan dengan keberanian dan keikhlasan demi membawa perubahan positif kepada parti dan negara.
Mesyuarat itu turut menyaksikan kehadiran barisan kepimpinan negeri dan mendapat sambutan daripada akar umbi serta golongan muda yang komited memperkukuh UMNO di peringkat bahagian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








