
Altimet menang Ketua Cabang KEADILAN Ampang, seru penyatuan hadapi PRU
AMPANG – Ahli Parlimen Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet diumumkan sebagai Ketua Cabang KEADILAN Ampang yang baharu selepas memenangi pemilihan cabang parti tersebut.
Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, meraih 1,926 undi, mengalahkan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Mohd Kamri Kamaruddin.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Altimet yang juga penyanyi rap terkenal, mengucapkan syukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.
“Kemenangan ini bukan milik saya seorang. Tetapi ia milik seluruh pasukan yang bekerja tanpa henti serta ahli yang percaya bahawa masa depan KEADILAN di Ampang memerlukan nafas baharu, kepimpinan berprinsip dan semangat perubahan,” katanya.
Keputusan rasmi bagi pemilihan KEADILAN 2025 di peringkat cabang negeri Selangor, termasuk Melaka dan Perlis yang diadakan semalam diumumkan hari ini dan boleh diakses di laman web pemilihan.keadilanrakyat.org
Altimet turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang keluar mengundi, sambil menyifatkan penglibatan aktif mereka sebagai bukti bahawa demokrasi dalam parti terus subur dan hidup.
Beliau menekankan pentingnya untuk mengenepikan segala perbezaan selepas pemilihan dan menyeru semua pihak agar kembali bersatu demi menghadapi cabaran terutamanya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Saya hulurkan tangan saya kepada semua tanpa mengira kem, kumpulan atau kecenderungan untuk kita mula bersiap sedia dari sekarang.
“Perjuangan masih belum selesai. Masa depan Ampang bermula hari ini,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |