POLITIK

Ahmad Zahid yakin MCA kekal dalam BN

PORT DICKSON – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin MCA akan terus kekal dalam gabungan itu walaupun terdapat gerakan dalaman parti yang mahu berpisah.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana MCA dan MIC adalah pemangkin kepada kewujudan BN, lapor BH Online.

“Tak ada (MCA akan keluar BN), (jika berlaku) saya akan diberitahu sendiri oleh Presiden MCA (Datuk Seri Wee Ka Siong).

“Mungkin ada gerakan (pihak tertentu) yang dilakukan, saya pun ada dikhabarkan begitu, tetapi keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) mereka tidak begitu, Insya Allah mereka tetap bersama dengan kita (BN),” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak UMNO Bahagian Port Dickson di Dewan Pusat Latihan FAMA, di sini petang tadi.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai mesyuarat perwakilan bahagian MCA yang sedang berlangsung dijangka akan menentukan sama ada parti itu akan mengambil keputusan untuk berpisah dengan UMNO pada perhimpunan agung tahunan parti yang dijangka pada Oktober ini.

Isu itu dikatakan timbul berikutan meningkatnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi parti terbabit yang mendakwa parti itu dipinggirkan UMNO.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu menjaga rakan dalam parti komponen itu dengan baik dan membantu jika mereka menghadapi masalah.

“UMNO mesti menjaga rakan-rakan kita jika mereka ada masalah. Ini adalah semangat BN yang harus kita perkukuhkan dan saya yakin rakan kita akan terus bersama dengan gagasan BN ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button