
Bekas calon presiden Taiwan dituduh rasuah
TAIPEI – Bekas calon presiden Taiwan, Ko Wen-je, yang pernah dianggap bintang baharu dalam politik negara itu, hari ini didakwa atas tuduhan rasuah.
Wen-je, 65, didakwa menerima suapan sebanyak setengah juta dolar dalam urusan hartanah ketika menjawat jawatan Datuk Bandar Taipei.
Beliau juga dituduh menyalahlapor dana kempen ketika bertanding dalam pilihan raya presiden Januari lalu.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara sehingga 28.5 tahun terhadap Wen-je, yang turut melibatkan 11 individu lain dalam kes itu.
Beberapa ahli parti politiknya, Taiwan People’s Party, juga didakwa atas tuduhan menyeleweng dana politik.
Wen-je yang sebelum ini menafikan semua tuduhan, ditahan sejak September lalu dan dakwaan itu dianggap tamparan hebat kepada gerakan politik yang diwakilinya.
Walaupun tewas dalam pilihan raya presiden Januari lalu dengan memperoleh lebih 25 peratus undi, Wen-je dilihat sebagai calon ketiga yang membawa dimensi baharu dalam politik Taiwan.
Pemerhati politik menyifatkan keputusannya mencerminkan permintaan rakyat terhadap landskap politik yang lebih pluralistik.
Wen-je terkenal dengan retorik lantang dan gaya kempen yang unik, termasuk video rap semasa pilihan raya Datuk Bandar Taipei 2018.
Sebagai Datuk Bandar, beliau memperluas hubungan Taipei dengan tanah besar China, walaupun pernah menyokong gerakan protes anti-Beijing, Sunflower Movement, pada 2014.
Selepas kekalahan dalam pilihan raya presiden, Wen-je berjanji untuk terus berjuang dalam politik dan merancang untuk bertanding sekali lagi pada 2028.
Bagaimanapun, siri dakwaan itu mungkin memberi kesan besar kepada masa depan politiknya dan partinya.
Penyokong Wen-je menuduh DPP menggunakan tuduhan rasuah itu untuk menekan lawan politik mereka.
Protes besar-besaran oleh penyokongnya telah diadakan sebagai tanda solidariti terhadap bekas datuk bandar itu.
Kes itu menjadi perhatian utama di Taiwan, memandangkan ia boleh mempengaruhi landskap politik negara itu menjelang pilihan raya akan datang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |