BERITA SEMASAPOLITIK

14 cabang PKR Kedah sokong Nurul Izzah tanding Timbalan Presiden

ALOR SETAR – Sebanyak 14 daripada 15 Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti bagi penggal 2025-2028.

Menurut Ketua Cabang PKR Pokok Sena, Mohd Altab Pa Ibrahim, sokongan sebulat suara itu diberikan berdasarkan kewibawaan dan keteguhan Nurul Izzah dalam perjuangan reformasi parti sejak awal penubuhannya.

“Ketegasan beliau dalam memperjuangkan prinsip keadilan menjadikan beliau simbol keberanian, ketabahan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap matlamat reformasi PKR.

“Sebagai tokoh muda yang berprinsip dan berpandangan jauh, Nurul Izzah bukan sahaja membawa aspirasi perubahan, bahkan beliau adalah obor yang terus menyalakan semangat perjuangan dalam kalangan ahli parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Nurul Izzah telah membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin berwibawa serta menjadi simbol harapan kepada rakyat Malaysia.

Antara cabang yang menyatakan sokongan adalah Jerlun, Padang Terap, Langkawi, Sik, Baling, Jerai, Kubang Pasu, Sungai Petani, Merbok, Kuala Kedah, Kulim-Bandar Baharu, Pendang, Alor Setar dan Pokok Sena.

Bagaimanapun, Ketua Cabang Padang Serai, Shamsul Anuar Abdullah masih belum menyatakan pendirian rasmi berhubung pencalonan tersebut setakat ini.

Dalam pada itu, kesemua Ketua Cabang yang menyokong turut menyatakan sokongan padu terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui parti.

“Kami percaya kepimpinan Anwar Ibrahim kekal relevan dan merupakan pilihan terbaik untuk membawa PKR ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan progresif,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button