Polis tahan tiga wanita dipercayai dalang pecah tabung masjid dan surau
SEREMBAN – Polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah tabung masjid dan surau di sekitar daerah dengan penahanan tiga wanita dipercayai dalang jenayah tersebut.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan dari 1 Jun lalu sehingga semalam.
Difahamkan dalam kejadian terbaru pada kira-kira pukul 6.30 petang 26 Mei lalu, suspek dikatakan menyamun wang dari tabung sebuah surau di Taman Dato Wan, Paroi, di sini.
Arifai berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menerima laporan polis daripada seorang lelaki mendakwa tabung surau dipecahkan dan semua wang dilarikan.
“Pada pukul 8.56 malam, 31 Mei lalu, pihak polis telah menerima laporan daripada ahli jawatankuasa (AJK) surau di Taman Dato Wan yang menyatakan tabung surau telah dipecahkan. Laporan hanya dibuat selepas lima hari kejadian.
“Hasil siasatan mendapati suspek memotong mangga pada tabung dan mengambil semua wang di dalamnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek dalam kes tersebut pihak polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Seremban.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan. Kesemua suspek telah direman sehingga 5 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
