BERITA SEMASADALAM NEGERI

Polis sahkan pemandu Nissan Navara bukan pemilik kenderaan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Plaza Tol Jalan Duta pada Sabtu lalu bukan pemilik sah kenderaan tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas suspek yang kini dalam tahanan.

“Polis sedang menjalankan proses sambung reman terhadap suspek bagi membantu siasatan. Kes ini akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Insiden mengakibatkan dua individu yang menaiki motosikal mengalami kecederaan serius.

Seorang wanita merupakan pembonceng kini dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh.

“Pembonceng wanita masih menerima rawatan rapi dan berada dalam pemantauan pihak hospital. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh oleh kenderaan suspek,” jelas Zamzuri.

Dalam sebuah video yang tular di media sosial, seorang lelaki yang dipercayai pemilik kenderaan pacuan empat roda berkenaan menafikan dirinya berada di tempat kejadian atau memandu ketika kemalangan berlaku.

Individu tersebut dalam video berkenaan mendakwa maklumat peribadinya, termasuk akaun media sosial, telah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, menyebabkan kekeliruan di kalangan warganet.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya bukan individu yang memandu ketika kejadian. Penyebaran identiti saya tanpa usul periksa telah menjejaskan nama baik serta keselamatan saya dan keluarga,” katanya dalam video berdurasi hampir dua minit itu.

Susulan penyebaran tersebut, polis mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung insiden itu.

Tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau mengganggu siasatan.

Orang awam diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengikut lunas undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button