Polis rampas dadah bernilai RM7.1 juta di Gombak, tiga individu termasuk pelajar IPTS ditahan
GOMBAK — Polis merampas dua jenis dadah jenis bernilai lebih RM7.1 juta dalam dua serbuan berasingan yang membawa kepada penahanan tiga individu termasuk sepasang kekasih, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kes pertama melibatkan rampasan dadah jenis syabu seberat 222 kilogram di dalam sebuah kereta Toyota Vios di sebuah gudang kereta di daerah itu.
Katanya, rampasan dadah yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang pada pukul 9.30 malam, 14 Mei lalu itu dianggarkan bernilai RM7.1 juta
“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang disyaki berperanan sebagai penghantar dalam sindiket ini.
“Suspek yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan keputusan ujian air kencing juga negatif.
“Suspek direman selama 12 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.
Noor Ariffin berkata, dalam serbuan berasingan di Desa Jaya pada 27 Mei, polis menahan sepasang kekasih selepas menemui ganja seberaat 2,072 gram dalam sebuah kereta Honda City.
“Suspek lelaki berusia 35 tahun merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), manakala teman wanitanya berusia 47 tahun bekerja sebagai eksekutif insurans,” jelasnya.
Menurutnya, pemeriksaan dalam kenderaan menemukan dua bungkusan plastik mengandungi daun kering disyaki ganja yang dianggarkan bernilai RM6,423.
“Dadah itu dipercayai untuk edaran di kawasan sekitar Gombak.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan keputusan ujian saringan air kencing juga negatif.
“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 3 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Secara keseluruhan, dadah yang dirampas daripada kedua-dua kes ini mampu membekalkan kepada 226,475 penagih.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang masih bebas,” ujar beliau.
Polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah bagi membantu usaha membanteras jenayah ini secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


