
PM Anwar gesa pemimpin dunia bangkit henti kekejaman di Gaza
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin-pemimpin dunia agar bangkit menghentikan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang disifatkan beliau sebagai cabaran besar terhadap nilai dan prinsip kemanusiaan sejagat.
Menurut Perdana Menteri, kekejaman yang berlaku termasuk pembunuhan keluarga Palestin secara kejam, melibatkan kanak-kanak serta bayi yang terkorban akibat kebuluran dan kekurangan bantuan kemanusiaan, jelas merupakan pencabulan terhadap asas moral yang paling fundamental.
“Tragedi yang sedang berlaku di Gaza adalah satu ujian kepada peri kemanusiaan kita. Seluruh keluarga dibunuh, anak-anak termasuk bayi dibunuh. Ada yang mati kelaparan. Penghinaan terhadap nilai kehidupan dan maruah manusia ini mesti dihentikan segera,” katanya menerusi ucapan video semalam.
Justeru, beliau menyeru negara-negara yang menjunjung undang-undang antarabangsa serta mendaulatkan prinsip kemanusiaan agar menyuarakan pendirian tegas menentang jenayah kejam tersebut.
“Setiap kerajaan yang mempercayai undang-undang antarabangsa, setiap negara yang menghargai nilai kehidupan manusia, mesti bersuara dalam satu nada,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa pihak-pihak yang mempunyai pengaruh terhadap Israel agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang sekatan.
Baca juga : Malaysia sudah lakukan yang termampu bantu Gaza
“Saya khususnya menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump agar menggunakan pengaruh beliau untuk mendesak penghentian segera pembunuhan ini, menghentikan pengeboman sewenang-wenangnya serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mangsa tanpa sekatan,” tegas beliau.
Tambah Perdana Menteri, waktu ini menuntut satu bentuk kepimpinan moral yang tulen dan berani tampil membela nilai-nilai yang selama ini dilaungkan oleh masyarakat antarabangsa.
“Ini adalah masa untuk kepimpinan berteraskan moral. Ini adalah waktu untuk menjunjung nilai yang kita dakwa kita pertahankan,” katanya.
Beliau turut menegaskan Malaysia bersedia bekerjasama dengan mana-mana negara dari seluruh pelosok dunia dalam usaha menyalurkan bantuan dan mengangkat kembali prinsip kemanusiaan yang telah dicabuli.
“Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara bagi meringankan penderitaan di Gaza dan mengembalikan prinsip asas kemanusiaan. Janganlah kita dikenang sebagai mereka yang hanya berdiam diri.
“Biarlah suara hati nurani memandu kita untuk menjawab penderitaan dengan belas kasihan serta berusaha membawa damai demi kemanusiaan,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


