BERITA SEMASADALAM NEGERI

PLKN: Penangguhan hanya dua kali sebelum tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR – Calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 hanya dibenarkan membuat penangguhan penyertaan sebanyak dua kali sebelum berdepan tindakan undang-undang sebagai langkah terakhir.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pihak kementerian memahami keperluan penangguhan atas faktor-faktor tertentu seperti masalah kesihatan atau melanjutkan pelajaran, namun menegaskan bahawa ketegasan perlu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.

“Setelah dua kali penangguhan, kita akan buat penilaian menyeluruh.

“Kita akan gunakan semua pendekatan termasuk mengadakan sesi kaunseling dan perbincangan bersama ahli keluarga sebelum sebarang tindakan diambil.

“Jika masih gagal hadir tanpa alasan munasabah, tindakan perundangan akan diambil sebagai proses terakhir mengikut peruntukan sedia ada,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Adly Zahari berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2 di Kem Rejimen 515 (AW), Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 444 pelatih terdiri daripada 257 pelatih lelaki dan 187 pelatih wanita menamatkan latihan program yang diadakan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah (Kem Force 136) di Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW) di sini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zainal.

Menurut Adly, pengecualian hanya diberikan kepada peserta yang mempunyai alasan kukuh, termasuk masalah kesihatan, urusan pendidikan, atau sebab-sebab yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa program.

Mengulas mengenai 60 pelatih yang tidak hadir pada sesi PLKN 3.0 yang lalu, Adly menjelaskan bahawa mereka tidak terlepas daripada menyertai latihan, sebaliknya akan diselaraskan semula untuk sesi akan datang.

“Tidak hadir tidak bermaksud mereka terlepas daripada program. Kita akan panggil semula dan pastikan mereka menyertai latihan dalam pusingan yang akan datang,” katanya.

Menurut peruntukan di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara, mana-mana pelatih yang tidak menghadirkan diri bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendaki telah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button