Pesanan Cikgu E ‘abah sentiasa hidup’ runtun emosi netizen
KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang pejuang kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E di media sosial hari ini menyentuh hati netizen.
Beliau yang dikenali ramai kerana ketabahan dan keikhlasannya menyebarkan semangat positif sepanjang perjuangan melawan penyakit tersebut memuatnaik dua hantaran di Facebook.

Dalam status tersebut, Cikgu E menitipkan pesanan yang sarat dengan kasih, reda dan keinsafan seolah-olah menyedari detik perpisahan semakin hampir.
“Andai satu hari nanti saya sudah tiada, ingatlah bahawa setiap nafas terakhir saya dulu adalah kerana kasih dan cinta saya pada kamu semua,” tulisnya dalam status yang ditujukan khas buat isteri dan anak-anak tersayang.
Buat isterinya, beliau menzahirkan penghargaan yang mendalam kerana menjadi “tiang doa dan kekuatan” sepanjang perjalanan hidup dan perjuangannya.
“Awak bukan sekadar isteri, tapi rahmat paling indah yang Allah pinjamkan. Teruslah hidup dengan tenang, jangan sesekali bersedih lama-lama. Saya mahu awak bahagia, sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana,” tulisnya penuh kasih.
Beliau turut menulis pesanan khusus buat setiap anaknya, satu persatu dengan penuh kelembutan seorang ayah.
Untuk anak sulungnya, Hakeem, beliau berpesan agar terus menjadi pelindung keluarga; kepada Hana, agar terus menzahirkan rindu dalam doa; buat Aleesya, agar kekal kuat dan sabar; kepada Qistina, agar terus menyebarkan keceriaan; dan kepada anak bongsu, Hafeez, supaya menjadi anak soleh yang mendoakan keluarga.
“Abah sayang kamu semua, sampai ke syurga, Insya-Allah. Kalau rindu, pandang langit dan senyum… sebab di situ juga abah sedang mendoakan kamu,” tulisnya dalam satu ayat yang menggetarkan hati sesiapa sahaja yang membacanya.
Terdahulu, Cikgu E sempat memuat naik satu lagi catatan yang lebih tenang tetapi sarat dengan keinsafan.
Beliau mengakui keadaan kesihatannya semakin merosot dengan nafas yang semakin pendek dan dada yang terasa sempit.
“Nikmat yang paling kecil dalam hidup ini iaitu bernafas, sebenarnya adalah nikmat yang paling besar yang sering kita lupa untuk syukuri,” tulisnya dengan penuh kesedaran.
Dalam status itu juga, beliau mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada semua kenalan serta meminta agar semua menghalalkan makan minumnya, ilmu dan segala jasa yang pernah dikongsi.
“Saya hanyalah seorang hamba yang penuh dengan kelemahan. Namun saya bersyukur, kerana sebelum Allah memanggil pulang, Dia masih memberi ruang untuk saya belajar tentang makna sebenar redha dan sabar,” tulisnya.
Beliau turut menitipkan pesanan agar tidak men tangisi pemergiannya terlalu lama, sebaliknya mendoakan dan terus menyebarkan kasih serta kebaikan di dunia ini.
Doanya yang terakhir cukup meruntun jiwa.
“Ya Allah, jika telah sampai waktuku, jemputlah aku dalam keadaan Engkau redha padaku. Ringankanlah sakaratul mautku, lapangkanlah kuburku, dan tempatkanlah aku bersama orang-orang yang Engkau kasihi,” pintanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




