BERITA SEMASA

Pertunjukan bunga api 360 darjah warnai Malam Ambang Merdeka 2025 di Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Pertunjukan bunga api 360 darjah bakal menghiasi program Malam Ambang Merdeka 2025 di Menara Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.

Melalui acara tersebut, pengunjung berpeluang menyaksikan warna-warni bunga api yang dilancarkan serentak dari tiga lokasi berbeza sekali gus memberi pengalaman visual yang memukau pandangan.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman berkata, penganjuran kali ini bakal menjadi memori yang sukar dilupakan.

Poster menunjukkan aturcara program sempena Malam Ambang Merdeka di Menara Kuala Lumpur bermula pada pukul 9 malam hingga 12.30 pagi.

“Sambutan tahun ini sangat istimewa dengan pertunjukan bunga api dari tiga lokasi pelancaran buat pertama kali dalam sejarah Menara Kuala Lumpur.

“Ia memberikan pengalaman pemandangan 360 darjah yang tiada tandingan pada tarikh istimewa ini. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berbangga menampilkan yang terbaik kepada semua pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertunjukan yang dijadualkan tepat pukul 12 tengah malam itu merupakan kemuncak sambutan Malam Ambang Merdeka 2025 yang akan memahat satu lagi detik istimewa buat para pengunjung menara ikonik tersebut.

Selain itu, bermula pukul 9 malam, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai acara termasuk persembahan muzik secara langsung oleh The Sky Band, diiringi panorama langit Kuala Lumpur yang bergemerlapan.

Acara ini merupakan antara program utama Menara Kuala Lumpur sepanjang Ogos dan September sempena Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Harga tiket untuk para pengunjung membuat pembelian sempena program tersebut.

Turut dianjurkan ialah acara Light Up Malaysia – Colours of Unity, pertandingan lagu patriotik Gema Merdeka, pertandingan padu tarik dan tebar canai serta Sayembara Puisi Kemerdekaan.

Kesemua program tersebut dilaksanakan sebagai usaha menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, meraikan kepelbagaian budaya dan mengukuhkan kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan serta mercu tanda kebanggaan negara.

Menara Kuala Lumpur merupakan salah satu mercu tanda ikonik negara.

“Menara Kuala Lumpur menjemput rakyat Malaysia serta pelancong antarabangsa untuk bersama meraikan malam penuh warna di mana semangat patriotisme bersatu dengan keindahan langit ibu kota.

“Ia pasti menjadikan Malam Ambang Merdeka 2025 satu kenangan yang akan kekal terpahat dalam sejarah,” kata Khairil Faizal lagi.

Bagi program Malam Ambang Merdeka, ia terhad kepada 1,200 pengunjung bertuah yang dapat menikmati acara ini dari tiga lokasi tontonan eksklusif iaitu Observation Deck seramai 400 orang, Sky Terrace (300) dan Tower Terrace (500).

Tiket telah mula dijual di www.kltower.com dan ia tertakluk kepada terma serta syarat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button