BERITA SEMASA

Penyampai radio Bernama tahan sebak baca berita pemergian bos sendiri

KUALA LUMPUR – Penyampai radio, Raifa Nabillah Zulkifli tetap meneruskan tugas secara profesional ketika menyampaikan berita pemergian Ketua Radio Bernama, Azlan Idris yang disahkan meninggal dunia awal hari ini.

Detik penuh emosi itu dikongsikan Raifa menerusi satu hantaran video di media sosial ketika beliau sedang bertugas sebagai penyampai segmen Spektrum Pagi.

Menerusi rakaman tersebut, jelas kelihatan raut wajah dan intonasi suaranya yang cuba menahan perasaan sedih ketika menyampaikan berita berkenaan.

“Tugasan paling berat pagi ini. Baca berita pemergian bos sendiri,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Raifa turut berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarham, apabila beliau masih sempat berbincang urusan kerja sehari sebelum pemergian Ketua Radio Bernama itu.

“Pukul 8 pagi semalam, saya serahkan perancangan yang bos minta. Bos kata mahu adakan mesyuarat semula hari ini.

“Namun, Allah lebih menyayangi beliau. Semoga segala urusan bos dipermudahkan. Salam takziah buat keluarga bos. Berehatlah bos. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Allahyarham Azlan, 57, disahkan meninggal dunia di kediamannya pada pukul 12.35 tengah malam tadi selepas mengadu sesak nafas.

Beliau merupakan antara individu terawal menyertai Bernama Radio sejak penubuhannya pada tahun 2007 dan memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju operasi stesen berkenaan.

Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham terlibat secara aktif dalam menggubal strategi bagi memastikan kelangsungan serta daya saing Bernama Radio ketika industri penyiaran negara berdepan cabaran hebat akibat perkembangan pesat teknologi digital.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Wan Syahrina Wan Abd Rahman, yang juga Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV, serta empat orang anak.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju pada pukul 9 pagi untuk dimandikan dan disolatkan dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai serta rakan media.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih pada pukul 12.15 tengah hari tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button