Penolong pegawai KPDN Selangor didakwa terima suapan RM11,500
SHAH ALAM – Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM11,500, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Sahzul Hisam Samsuri, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Memetik laporan Berita Harian, berdasarkan pertuduhan pertama, Sahzul didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap kes membawa minyak masak terpakai tanpa lesen sah ketika bertugas sebagai pegawai penyiasat di KPDN Selangor.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima RM5,000 daripada sebuah syarikat serta RM3,500 daripada seorang wanita, kedua-duanya menerusi pindahan ke akaun bank miliknya.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan letak kereta Taman Ramal Indah, Kajang dan cawangan sebuah bank di Sabak Bernam antara 7 hingga 13 September 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Selangor setiap awal bulan.
Peguam tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya digantung tugas sejak siasatan bermula pada Februari 2023 dan kini kehilangan hampir keseluruhan pendapatan tetap.
“Tertuduh menanggung isteri, tiga anak bersekolah serta seorang bayi berusia sembilan bulan,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di SPRM pada minggu pertama setiap bulan serta tidak menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Ogos depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
