Penjualan Electronic Arts pengambilalihan kedua terbesar industri permainan video
NEW YORK – Syarikat permainan video, Electronic Arts (EA) mengumumkan pengambilalihan syarikat itu oleh satu konsortium menjadikannya satu syarikat persendirian di mana semua saham awamnya akan dibeli dan tidak lagi diniagakan di pasaran.
Menurut Reuters, proses penjualan bernilai AS$55 bilion (RM231.82 bilion) itu dilaksanakan oleh satu konsortium yang terdiri daripada Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, Silver Lake dan Affinity Partners milik Jared Kushner.
EA terkenal sebagai pembangun dan penerbit permainan popular seperti EA FC (dahulunya dikenali sebagai FIFA), The Sims dan Mass Effect.
Difahamkan, proses itu merupakan pengambilalihan berleveraj terbesar dalam sejarah di mana sebahagian besar pembelian dibiayai melalui pinjaman.
Ia merupakan pengambilalihan kedua paling bernilai dalam sejarah industri permainan selepas perjanjian Microsoft bernilai AS$69 bilion (RM290.83 bilion) untuk membeli penerbit Call of Duty, Activision Blizzard pada 2023.
Ketua EA, Andrew Wilson, yang akan kekal menerajui syarikat itu, menyifatkan perjanjian ini sebagai satu “pengiktirafan besar” terhadap usaha syarikat.
“Bersama rakan kongsi kami, kami akan mencipta pengalaman transformatif untuk menginspirasi generasi akan datang,” katanya.
Firma yang membeli EA akan menyumbang kira-kira AS$36 bilion (RM151.74 bilion) dengan baki jumlah akan dibiayai melalui pinjaman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


