BERITA SEMASA

Peniaga petai terima lesen sementara, ‘ganti rugi’ dari MB

PUTRAJAYA – Peniaga petai yang membuang jualannya di atas jalan selepas mendakwa tidak dibenarkan berniaga oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) baru-baru ini telah diberikan lesen sementara.

Peniaga yang tular dalam video itu juga menerima sumbangan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen Port Dickson diberikan ‘ganti rugi’ atas kejadian tersebut.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran yang dikongsi dalam satu hantaran di Facebooknya memaparkan pertemuan dengan peniaga berkenaan, Mohd. Noor Saad.

Lawatan ke rumah Mohd. Noor turut disertai oleh Yang di-Pertua MPPD, Hasnor Abdul Hamid, Setiausaha MPPD, Mohd. Azizul Hakim, Unit Penguat Kuasa, Unit Perlesenan serta Ahli Majlis Perbandaran, A. Segaran.

Rajasekaran berkata, dalam pertemuannya di rumah Mohd. Noor, pihaknya cuba menyelesaikan isu tersebut secara harmoni.

Related Articles

“YB menyampaikan sedikit sumbangan mewakili Datuk Seri Aminuddin bagi mengganti rugi petai yang tidak dapat dijual pada hari berkenaan.

“Hasil perbincangan, pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersetuju mengeluarkan lesen sementara kepada Pak Cik Noor bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah,” katanya.

Tangkap layar insiden seorang peniaga membaling barang jualan (petai) selepas ditegur oleh penguatkuasa MPPD baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, Pegawai Penguat Kuasa MPPD, yang terlibat dalam insiden tersebut turut hadir dan bersalaman dengan Mohd. Noor sebagai tanda penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Kami berharap langkah ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.

“Pihak MPPD juga akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku di masa hadapan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan mesra.

“Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik,” katanya.

Dalam video tular itu, Mohd. Noor membuang jualan petainya di atas jalan selepas dipercayai dihalang oleh anggota penguatkuasa MPPD yang mahukan lesen perniagaan.

Insiden itu mencetuskan simpati orang ramai terhadap Mohd. Noor

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button