JENAYAH & MAHKAMAH

Peniaga durian didakwa sebar berita palsu bekalan bahan api di Facebook

SEPANG – Seorang peniaga durian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebarkan berita palsu mengenai bekalan bahan api di media sosial, April lalu.

Tertuduh, Nurhafizul Badrul Hisham, 34, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman sebaik pertuduhan dibacakan.

Lelaki itu didakwa sengaja menyebarkan kandungan yang bertujuan menyakitkan hati orang lain melalui akaun Facebook miliknya, pada 12 April lepas.

Hantaran kemudian dilihat di Aras 8, Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 6.48 pagi, 13 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pegawai pendakwa MCMC, Mohamad Farhan Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya ditawarkan ikat jamin yang rendah kerana tidak memiliki pendapatan tetap selain menanggung isteri yang tidak bekerja, dua anak masih kecil serta ibu dan ayahnya.

“OKS (orang kena saman) mempunyai anak masih kecil berusia tiga dan lima tahun serta menjaga ayah berusia 96 tahun yang menghidap strok serta ibu berusia 65 tahun,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dan menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button