BERITA SEMASAPOLITIK

Pengundian awal PDRM PRK Kinabatangan, DUN Lamag berjalan lancar

KINABATANGAN – Proses pengundian awal melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berlangsung dalam suasana lancar serta teratur pagi ini.

Pengundian awal yang bermula pada pukul 8 pagi itu membabitkan seramai 196 anggota polis bersama pasangan masing-masing yang layak mengundi, dengan Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan dijadikan satu-satunya pusat mengundi awal bagi PRK berkenaan.

Tinjauan mendapati anggota keselamatan hadir secara berperingkat ke pusat pengundian sebelum pukul 8 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi awal, manakala cuaca cerah pagi ini turut membantu melancarkan proses berkenaan.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut ditempatkan di pusat pengundian itu bagi memastikan semua prosedur pengundian dipatuhi sepenuhnya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar yang berdepan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, bagi kerusi DUN Lamag, calon BN, Mohd Ismail Ayob akan menentang Mazliwati Abdul Malek dari Warisan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai tarikh pengundian awal, manakala hari mengundi ditetapkan pada 24 Januari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button