Pengerusi ASEAN 2025: Apa harapan rakyat Malaysia
BERTANGGUNGJAWAB sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) buat kali kelima sejak tahun 1967, Malaysia bakal memainkan peranan penting dalam mencorak kepimpinan rantau ini.
Malah dalam konteks keselamatan siber, usaha memperkukuhkannya sudah lama dilakukan.

Tahun ini, Malaysia sekali lagi berpeluang untuk memperkenalkan dasar-dasar yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara dalam keselamatan siber tetapi juga menginspirasikan rakyat.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil melahirkan harapan agar Malaysia dapat membawa cadangan yang memberi impak besar, bukan sahaja kepada ASEAN tetapi juga kepada komuniti keselamatan siber di Malaysia.
Menurut beliau, tunjang kekuatan keselamatan siber sebenarnya terletak pada komuniti dan rakyat Malaysia mempunyai pandangan yang tinggi terhadap nilai keselamatan dan kepercayaan dalam dunia siber.

Selain itu, Siraj juga menyarankan kerajaan untuk mengambil inisiatif menubuhkan komuniti rasmi di bawah ASEAN bagi memperkukuhkan kerjasama dalam keselamatan siber di rantau ini.
“Sekiranya peluang ini diwujudkan, komuniti keselamatan siber Malaysia berpotensi untuk memimpin inisiatif ini bersama negara-negara ASEAN lain,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun tahap keselamatan siber Malaysia dikritik masih lemah, hal ini berkait rapat dengan jumlah peruntukan yang rendah dalam sektor ini.
“Keselamatan siber adalah tulang belakang dunia digital kita. Jika keselamatan siber runtuh, segala infrastruktur digital seperti perbankan dan teknologi canggih akan lumpuh,” jelas beliau.
Justeru, beliau menyeru kerajaan untuk meningkatkan peruntukan bajet bagi keselamatan siber sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pertahanan digital negara.

“Industri keselamatan siber bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan yang harus menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan kestabilan dan kemajuan dunia digital Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Nilai, Azua Hanim Mohd Said berkata, melalui tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berpeluang meningkatkan kerjasama lebih strategik dalam bidang pendidikan di rantau Asia Tenggara.

“Ilmu dan pendidikan sering menjadi teras kepada pembangunan masyarakat sesebuah negara.
“Oleh itu, secara peribadi saya berharap Malaysia dapat mengetengahkan agenda pendidikan serantau termasuk memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkukuh sistem pembelajaran digital sedia ada.

“Selain itu, kita juga boleh mempromosikan pertukaran pelajar serta tenaga pengajar antara negara-negara anggota dengan matlamat untuk berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing.
“Dengan adanya kerjasama bersifat akademik dan ilmuan, ASEAN boleh membina modal insan yang lebih kompeten untuk generasi tonggak masa hadapan,” katanya.
Bagi seorang kakitangan swasta, Mohd Asrul Khuzaimi berkata, sebagai rantau yang kaya dengan potensi ekonomi, rakyat juga berharap Malaysia dapat memainkan peranan aktif dalam memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN.
“Ini termasuk usaha memperluaskan perdagangan bebas, meningkatkan kemasukan pelaburan asing serta mempromosikan pembangunan perusahaan industri kecil dan sederhana.
“Selain itu, fokus juga perlu diberi dalam aspek memanfaatkan teknologi hijau dan ekonomi digital bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di rantau ini terus relevan di peringkat global,” kata Mohd Asrul.

Beliau juga berharap Malaysia mampu menunaikan tanggungjawab besar terutama menstabilkan isu ketegangan geopolitik di rantau Asia Tenggara terutama yang melibatkan isu Laut China Selatan dan hubungan kuasa besar dunia.
“Malaysia perlu pastikan ASEAN kekal bersatu dalam menghadapi cabaran ini sambil menjunjung prinsip keamanan dan kerjasama yang kukuh,” kata juruteknik kanan di sebuah perusahaan elektronik di Seremban itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






