BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pengaruh saya tidak akan hilang, saya di sini untuk berkhidmat – Tunku Mahkota Ismail

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan pengaruhnya dalam mana-mana bidang termasuk bola sepak dan politik adalah sebahagian daripada ekosistem yang tidak akan pernah hilang, malah akan terus berkembang.

Dalam kenyataan tegas yang dikongsi kepada umum, baginda menolak dakwaan serta spekulasi yang sering mengaitkan dirinya dengan pelbagai isu semasa termasuklah insiden konsert, perniagaan Bazar Ramadan dan kes melibatkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

“Jikalau apa yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, maka saya ada berita yang kurang baik: Pengaruh itu tidak akan hilang. Saya baru 41 tahun dan pengaruh, kuasa, pengalaman dan kewangan saya hanya akan bertambah dari sini,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook.

Tunku Mahkota Ismail turut menyentuh dakwaan kononnya gerai Bazar Ramadan di Johor dimiliki oleh baginda.

Menjawab secara sinis, baginda bertanya, “Adakah muka saya nampak seperti seseorang yang cari keuntungan daripada gerai Bazaar Ramadan?”

Baginda juga membidas cubaan mengaitkan dirinya dengan insiden pergaduhan di konsert punk tempatan, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal.

“Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?” soalnya.

Mengulas isu melibatkan Faisal Halim, baginda menyifatkan tuduhan tidak berasas yang cuba mengaitkan baginda sebagai tindakan pengecut.

“Saya ini seorang askar, kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu,” titah baginda.

Baginda juga menegaskan isu sebenar bukanlah apa yang telah dilakukan, tetapi kemampuan baginda untuk melakukannya dan ini menjadikan sesetengah pihak tidak senang dengan kewujudan pengaruh baginda.

“Pengaruh, dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Dan semakin masa berlalu, semakin ia bertambah kuat,” tegas baginda lagi.

Mengakhiri kenyataan tersebut, Tunku Mahkota Ismail memberi pesanan penuh makna:

“Belajarlah untuk terima atau cubalah habiskan saya terus. Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan memartabatkannya,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button