BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Penganjuran GPRCFMY 2025 platform perkasa kemahiran PR, literasi AI

KUALA LUMPUR – Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) terus mendapat maklum balas positif daripada peserta dan penganjur yang menyifatkan program tiga hari itu sebagai ruang pembelajaran yang dinamik, inklusif dan sejajar dengan keperluan industri komunikasi masa kini.

Bagi peserta dari Somalia, Abdishakur Mohamed Sharif yang kini melanjutkan pengajian Sarjana Kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia (UPM), penyertaan dalam program itu membuka peluang luas untuk berhubung serta mengasah kemahiran komunikasi dalam suasana profesional dan multinasional.

GPRCFMY
Abdishakur Mohamed Sharif

“Saya rasa ini peluang hebat untuk berjumpa orang baharu dan meningkatkan kemahiran hubungan awam terutama dalam komunikasi verbal dan non-verbal,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Abdishakur turut menekankan bahawa perbincangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) memberikan perspektif penting kepada golongan muda mengenai penggunaan teknologi secara beretika.

“Kita sekarang hidup dalam generasi AI. Semua orang menggunakannya tetapi apa yang ditekankan di sini ialah penggunaan beretika.

“AI membantu kita bukan menggantikan semuanya. Ia seperti pedang bermata dua yang boleh boleh membawa kebaikan atau sebaliknya,” kata Abdishakur.

Beliau yang terlibat dalam penyelidikan berkaitan teknologi air berkata, bidang kejuruteraan kini bergantung kepada pelbagai teknologi AI seperti machine learning dan deep learning sekali gus pemahaman mendalam tentang AI menjadi keperluan masa depan.

Sementara itu, wakil pasukan pengurusan projek PRactitioners, Kogillavany Pandian pula menyifatkan penganjuran GPRCFMY 2025 sebagai satu pencapaian besar bukan sahaja kerana pengisian program yang komprehensif tetapi juga sokongan kuat daripada institusi diraja dan akademik.

GPRCFMY
Kogillavany Pandian

“Acara ini sangat informatif terutama bagi mereka dari latar belakang perhubungan awam.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan dan banyak belajar tentang bagaimana meningkatkan penglibatan pelanggan serta mempromosikan acara secara lebih efektif,” katanya.

Menurutnya lagi, penganjuran kali ini turut menerima sokongan istimewa daripada Sultan Perak, Raja Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang mempunyai latar belakang dalam bidang perhubungan awam.

“Komitmen Baginda merupakan satu penghargaan yang meningkatkan kredibiliti dan semangat penganjur,” jelasnya.

Kogillavany turut berkongsi bahawa pihaknya berusaha menarik lebih ramai pelajar universiti termasuk daripada bidang komunikasi, PR dan jurusan bukan ICT untuk menyertai program seperti itu bagi memperluas pendedahan mereka.

“Ini adalah ruang terbuka untuk pelajar tempatan dan antarabangsa mendapatkan ilmu daripada pemimpin berpengalaman termasuk tokoh kerajaan dan industri kewangan.

“Mereka berkongsi tentang kepimpinan, kekuatan, cabaran dan bagaimana PR boleh memainkan peranan membina masyarakat,” katanya.

Tambah Kogillavany, penganjur juga berbangga kerana buat pertama kalinya acara itu memperkenalkan laman khusus untuk pelajar PR di media sosial sebagai platform berkongsi maklumat, kemas kini dan peluang.

“Kami amat bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh ramai pihak termasuk tokoh-tokoh senior dalam industri. Ini benar-benar pengalaman mengagumkan buat kami sebagai pasukan,” katanya.

GPRCFMY 2025 dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) dengan kerjasama strategik bersama MCMC dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Acara itu menghimpunkan lebih 500 pengamal perhubungan awam tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan masa depan komunikasi, etika digital dan cabaran AI dalam dunia profesional.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button