BERITA SEMASA

Pendakwah kongsi detik menyentuh hati bersama murid pengutip barang terpakai

BANGI – Pendakwah bebas, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila berpeluang membantu seorang murid sekolah yang mengutip kotak terpakai untuk dijual demi menampung keperluan keluarga.

Kejadian itu berlaku semalam di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, di sini ketika Dr Mohd Izhar singgah untuk makan tengah hari di kawasan berkenaan.

Dr Mohd Izhar Ariff

Menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, segalanya bermula apabila murid tersebut menegur kenderaan yang dipandu beliau.

“Anak tu menyapa saya dan berkata ‘Cantik kereta pak cik…’ Saya cakap nanti adik pun boleh beli macam ni apabila besar nanti, belajar rajin-rajin,” katanya yang juga pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tersentuh dengan keramahan kanak-kanak itu, beliau bertanya sama ada murid tersebut sudah makan atau belum dan jawapannya mengejutkan.

“Dia jawab tak makan lagi, beras habis kat rumah. Aduh, hati saya sayup terus,” tulisnya.

Dr Mohd Izhar kemudian mengajak murid itu makan bersamanya, namun ajakan tersebut pada mulanya ditolak dengan alasan tidak sesuai kerana keadaan dirinya yang tidak terurus.

“Ajak dia makan dengan saya, dia jawab ‘baju busuk tak sesuai…’ Puas saya ajak dia tetap tak mahu. Akhirnya saya mengalah dan saya belikan dia nasi bungkus,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau merayu agar pihak wakil rakyat setempat dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Bangi meneliti nasib keluarga murid terbabit yang disyaki hidup dalam kesempitan.

“Mohon pihak (Adun/Parlimen) dan pihak LZS Bangi tolong bantu tengokkan keluarga anak ini. Kesian saya. Harap sedikit sumbangan saya dapat bantu adik ini,” ujarnya.

Menjengah di ruangan komen, hantaran tersebut turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

“Maklum. Saya di Parlimen, saya dah minta pegawai semak esok (hari ini),” tulisnya.

“Terus berbakti Prof. Adik ini bakal menjadi pejuang ummah suatu hari nanti. Allah mudahkan urusannya,” komen Mohd Zaid Mohd Idrus pula.

Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut telah menerima 5,900 reaksi, 316 komen dan 337 perkongsian semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button