BERITA SEMASA

Pelanggan gerai burger cedera dilanggar

SHAH ALAM – Seorang pelanggan sebuah gerai burger di Jalan Malung, Seksyen 17, di sini cedera selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian pada pukul 7 malam, semalam.

Mangsa, lelaki tempatan berusia 39 tahun, mengalami patah tulang rusuk dan cedera di bahagian belakang badan.

Insiden tersebut turut tular di media sosial selepas dua video berdurasi 42 saat dan lebih satu minit dirakam oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati mangsa sedang duduk di meja makan gerai burger tersebut ketika kejadian.

“Sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terus merempuh mangsa.

“Kereta tersebut juga melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Waja yang sedang diparkir di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius.

Pemandu kereta berkenaan kemudian ditahan dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk ujian darah bagi mengesan kandungan alkohol atau dadah dalam tubuh.

Mohd. Iqbal menambah, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button