BERITA SEMASAHIBURAN

Pelakon The Cosby Show, Malcolm-Jamal Warner meninggal dunia akibat lemas

LOS ANGELES – Pelakon terkenal Amerika Syarikat, Malcolm-Jamal Warner, yang sinonim dengan watak Theo Huxtable dalam siri popular The Cosby Show, disahkan meninggal dunia pada usia 54 tahun.

Menurut kenyataan rasmi Agensi Siasatan Kehakiman Costa Rica, Warner dilaporkan lemas ketika berenang di Playa Grande, Cocles, sebuah pantai di wilayah Limón, pada pukul 2 petang waktu tempatan pada Ahad lalu.

Mangsa dipercayai dibawa arus kuat ke tengah laut sebelum diselamatkan oleh orang awam.

Bagaimanapun, usaha menyelamat oleh pasukan Palang Merah Costa Rica gagal dan Warner disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Warner mula mencipta nama di persada hiburan antarabangsa menerusi lakonannya dalam The Cosby Show yang disiarkan dari 1984 hingga 1992, sebagai anak kepada watak yang dimainkan oleh Bill Cosby.

Lakonan mantap beliau membawa kepada pencalonan Anugerah Emmy bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam siri komedi pada 1986.

Menariknya, Warner dilaporkan dipilih sendiri oleh Cosby pada hari terakhir sesi uji bakat nasional untuk membintangi watak tersebut.

Selepas kejayaan The Cosby Show, Warner terus aktif dalam dunia seni menerusi siri Malcolm & Eddie bersama pelawak Eddie Griffin serta muncul sebagai tetamu dalam beberapa siri popular seperti The Fresh Prince of Bel-Air dan Sesame Street.

Dalam dekad lebih terkini, Warner memegang watak sebagai Dr. AJ Austin, pakar bedah toraks dalam drama perubatan The Resident.

Selain bergiat dalam bidang lakonan, Warner turut aktif dalam muzik dan seni suara.

Beliau pernah memenangi Anugerah Grammy pada 2015 bagi kategori Persembahan R&B Tradisional Terbaik menerusi lagu Jesus Children of America, bersama Robert Glasper dan Lalah Hathaway.

Pada 2023, album puisi suara beliau bertajuk Hiding In Plain View turut menerima pencalonan Grammy.

Pemergian Warner meninggalkan kesan mendalam kepada para peminat serta rakan industri seni di seluruh dunia, yang kini berkabung atas kehilangan seorang figura seni serba boleh dan berpengaruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button