Pelajar dipulau, tiada hala tuju berisiko jadi sasaran buli
SEREMBAN – Isu pelajar dipulau, tidak mempunyai cita-cita dan tiada hala tuju menjadi antara kebimbangan yang diketengahkan dalam Program Ceramah Anti Buli anjuran Balai Polis Jalan Campbell di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah, di sini, semalam.
Ceramah bertajuk “Buli Bukan Gurauan, Ia Satu Jenayah” itu disampaikan oleh Ketua Balai Polis Jalan Campbell, Inspektor Adi Khusaini Sharipudin dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah.
Program melibatkan lebih 120 pelajar Tingkatan 1 dan 2 bersama guru itu dipenuhi pengisian bermakna dan kesedaran tinggi.

Dalam sesi interaktif itu, Adi Khusaini menekankan bahawa pelajar yang tiada cita-cita atau hala tuju berisiko menjadi mangsa buli kerana mereka mudah dipengaruhi dan kurang keyakinan diri.
““Apabila seseorang tiada pendirian, mereka mudah dipengaruhi dan akhirnya boleh menjadi sasaran buli.
“Oleh itu, guru kaunseling perlu memberi perhatian khas kepada golongan pelajar seperti ini,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau turut mengingatkan bahawa buli bukan sekadar jenaka tetapi satu jenayah yang boleh meninggalkan kesan emosi dan sosial jangka panjang kepada mangsa.
“Kita perlu pastikan setiap pelajar merasa dihargai dan diterima dalam kelompok rakan mereka kerana buli boleh menjejaskan masa depan seseorang ,” tegasnya.
Ceramah tersebut disampaikan dengan gaya santai dan mesra, disertai tayangan video, kisah inspirasi dan elemen hiburan ringan supaya pelajar lebih terbuka untuk berkongsi pandangan serta pengalaman mereka.

Malah, beliau turut membawakan beberapa contoh kes insiden buli yang berlaku di Malaysia bagi mengingatkan pelajar betapa seriusnya isu tersebut.
Ia termasuklah kes sebuah sekolah asrama di Melaka yang melibatkan lebih 20 pelajar Tingkatan 3 dikenakan ‘hukuman’ oleh pelajar senior dan kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang.
Program itu mendapat sambutan hangat daripada para pelajar dan guru yang menilai penganjurannya sebagai sangat bermanfaat dalam membentuk kesedaran, empati dan semangat tolong-menolong di sekolah.
Adi Khusaini berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala bagi melahirkan generasi pelajar yang berakhlak mulia, berkeyakinan tinggi dan bebas daripada budaya buli.
“Setiap pelajar berhak merasa dihargai dan diterima. Tiada siapa wajar dipulau atau dipinggirkan.
“Jom kita sama-sama hentikan buli bukan dengan diam tapi dengan tindakan dan kasih sayang,” pesannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
