Pelaburan kosmetik palsu: Pempengaruh didakwa tipu warga emas RM80,000
PUTRAJAYA – Seorang pempengaruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita warga emas membabitkan kerugian berjumlah RM80,000 berhubung pelaburan perniagaan kosmetik palsu, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Mikhail Mohd Rozi, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Mahkamah di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Mengikut pertuduhan, Mikhail didakwa menipu Tan Mei Lan, 58, dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM80,000 sebagai modal perniagaan kosmetik.
Tertuduh didakwa menjanjikan mangsa kedudukan sebagai rakan kongsi syarikat ‘Two M Legacy’, berserta tawaran gaji RM10,000 sebulan dan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Mei 2025, pada pukul 3.30 petang, di Bank Muamalat, Presint 15, Putrajaya.
Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Batrisyia Mohd Khusri mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ezleen Ismail, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan perlu menyara keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Difahamkan, Mikhail membayar denda yang dikenakan mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta lantikan peguam oleh tertuduh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















