
Peguam Negara sahkan tempat Raja Rozela digantikan selepas mohon bersara awal
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara mengesahkan tempat Datuk Raja Rozela Raja Toran sebagai ketua pasukan pendakwaan melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah digantikan baru-baru ini.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan dengan membuat pertimbangan yang teliti.
“Raja Rozela telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada bulan 3 April 2023. Pemohonan tersebut telah diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 November 2023.
“Selanjutnya, beliau telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar telah dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan yang baharu.
Beliau berkata, Mohd Dusuki mempunyai pengalaman luas hampir 30 tahun sebagai seorang Timbalan Pendakwa Raya.
“Beliau pada ketika ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi termasuklah kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
“Memandangkan kes melibatkan Ahmad Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga bulan Disember tahun 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes pendakwaan melibatkan beliau
“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam
Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







