BERITA SEMASA

Pegawai SPRM diingatkan elak unsur penganiayaan ketika jalankan tugas

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman mengingatkan semua pegawai suruhanjaya itu supaya mengelakkan sebarang unsur penganiayaan ketika melaksanakan tugas dan sentiasa memperbaiki kelemahan sekiranya berlaku kesilapan.

Beliau berkata, setiap warga SPRM perlu menjalankan amanah dengan penuh integriti demi menjaga kredibiliti suruhanjaya berkenaan.

“Amanah digalas bukan sahaja perlu dilaksanakan penuh integriti, malah menjadi satu ikrar yang wajib dikotakan setiap warga SPRM.

“Cabaran, kekangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani dengan kebijaksanaan serta berpandukan akta dan arahan ditetapkan,” katanya dalam amanat sulung ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengarah kanan dan bahagian SPRM hari ini.

Menurut Abd Halim, persepsi masyarakat terhadap SPRM juga tidak boleh diketepikan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pegawai.

Mengulas aspek penguatkuasaan, beliau berkata siasatan dan pendakwaan perlu bergerak seiring bagi memastikan pengendalian kes di mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.

“Antara pembaharuan yang akan diperkenalkan ialah memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM bagi memudahkan urusan pegawai,’ katanya lagi.

Beliau turut menyarankan pengisian dalaman diperkasakan selain usaha pendidikan masyarakat mengenai pencegahan rasuah diteruskan secara berterusan.

Abd Halim turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan amanah diberikan untuk menerajui SPRM serta menyeru seluruh warga suruhanjaya itu bersama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi itu memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan kontrak perkhidmatannya semalam selepas 42 tahun bersama SPRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button