Pegawai kanan Kastam dakwa pertukaran berkait surat layang
KUCHING – Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendakwa dikenakan tindakan pertukaran tugas secara berturut-turut selepas disyaki menjadi dalang penyebaran surat layang yang mengaitkan seorang pegawai tertinggi jabatan itu dengan seorang pemimpin parti politik kerajaan.
Pegawai berkenaan dilaporkan membuat laporan polis di Balai Polis Satok di sini pada 18 Disember lalu, berhubung dakwaan penularan dokumen yang mengaitkan kepimpinan atasan JKDM dengan isu salah guna kuasa.
Menurut pegawai itu, beliau dikenakan apa yang disifatkan sebagai ‘punitive transfer’ tanpa alasan munasabah dan tanpa melalui proses siasatan dalaman yang adil.
Dakwanya, pada 23 Oktober lalu, beliau dipindahkan serta-merta dari JKDM Selangor ke JKDM Sarawak, satu langkah yang disifatkan luar kebiasaan bagi pegawai pada kedudukannya.
Tambahnya, pada 17 Disember lalu, beliau sekali lagi dipindahkan tanpa sebarang penjelasan rasmi, kali ini dari Bahagian Pematuhan JKDM Sarawak ke Bahagian Cukai Dalam Negeri, lapor Malaysiakini hari ini.
Pegawai berkenaan turut mendakwa dimaklumkan oleh seorang pegawai kanan JKDM Sarawak bahawa arahan pertukaran tersebut datang terus daripada seorang pegawai tertinggi JKDM di Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexan Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
“Ya, saya mengesahkan,” katanya.
Selain laporan polis, portal berkenaan turut melaporkan bahawa pegawai terbabit telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung ketidakpuasan hati terhadap pengurusan JKDM, khususnya berkaitan pertukaran yang didakwa mempunyai unsur salah guna kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

