BERITA SEMASADALAM NEGERIPOLITIK

PAS fokus menang PRU16, soal Perdana Menteri ditentukan kemudian – Ahmad Yahaya

KOTA SARANG SEMUT – PAS menegaskan keutamaan parti itu kini adalah memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sebelum membicarakan soal calon Perdana Menteri.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, isu siapa yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri bukanlah keutamaan buat masa ini kerana PAS lebih menumpukan kepada memperkukuh jentera parti serta menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

“Pada kita, PAS ini mudah. Fokus utama ialah kita menang pilihan raya. Pastikan jentera terbaik, gerak kerja mantap dan tumbangkan kerajaan PH-BN terlebih dahulu.

“Selepas itu, barulah ditentukan orang yang layak, dan lebih penting jawatan Perdana Menteri ini tetap tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini malam tadi.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menegaskan, keyakinan bahawa PAS berupaya melahirkan seorang Perdana Menteri tetap ada, namun ia akan berlaku pada masa yang ditentukan.

“Saya mudah dalam soal kepimpinan negara ini. Sampai masanya, PAS akan menjadi Perdana Menteri. Jadi, sampai masa akan ada orang yang ditentukan sebagai Perdana Menteri,” ujarnya memetik laporan BH Online.

Mengulas tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menamakan calon Perdana Menteri ke-11 pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) parti itu Sabtu lalu, Ahmad berkata ia adalah hak parti berkenaan.

“Apa yang kita faham itu adalah PAT BERSATU. Jadi ahli dan kepimpinan mereka ada hak untuk membuat usul serta membuka pandangan terhadap masa depan negara.

“Dalam konteks Perikatan Nasional (PN), sudah tentu keputusan mesti dibuat bersama. Tetapi bagi parti masing-masing, termasuk PAS melalui muktamar, kita juga ada hak untuk kemukakan apa-apa usul. Begitu juga GERAKAN, mungkin ada pandangan berbeza,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button