
PAC dedah penggunaan RM3.77 bilion kutipan levi untuk pelaburan berisiko
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan oleh Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan jumlah berisiko tinggi.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, matlamat penubuhan HRD Corp adalah untuk pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi tujuan penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang, laporan BH Online.
“Namun, PAC mendapati HRD Corp yang bukan sebuah institusi pelaburan telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.
“Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada kerugian besar,” katanya pada sidang media laporan PAC di Parlimen hari ini.
Katanya hasil dapatan itu, diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Mas Ermieyati turut menyatakan bahawa kutipan levi yang dicatatkan oleh HRD Corp meningkat dengan ketara, iaitu RM2.134 bilion pada 2023 berbanding RM475 juta pada 2020.
“Peningkatan ini didorong oleh peluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 (Akta PSMB 2001) di mana pengenaan levi diwajibkan kepada semua sektor industri,” katanya.
Beliau juga menegaskan panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang besar kepada lembaga pengarahnya (BOD), menyebabkan kekurangan pengawasan terhadap aktiviti pelaburannya.
Dalam pada itu, ketiadaan wakil Bank Negara Malaysia sebagai ahli panel merupakan pelanggaran Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001.
“Panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburan kepada BOD, di mana pengurusannya mewajarkan bahawa pengerusi panel itu adalah dalam kalangan BOD.
“Ini menyebabkan BOD tidak dapat memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara keseluruhan dan menjejaskan peranan BOD sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp,” dedah laporan itu.
PAC menggesa tindakan segera diambil untuk memperbaiki kelemahan pengurusan ini demi memastikan dana levi digunakan mengikut matlamat asalnya dan mengelakkan kerugian besar di masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





