Op Rentas: 30 ditahan, 18 pegawai Imigresen terbabit sindiket ‘counter-setting’
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran dikenali sebagai Op Rentas bagi membanteras sindiket ‘counter-setting’ yang didakwa membolehkan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan sah di pintu masuk negara dengan bayaran rasuah.
Dalam serbuan yang dijalankan antara 9 hingga 11 September lalu, seramai 30 individu ditahan termasuk 18 pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen yang bertugas di bawah Agensi Kawalan Sempadan (AKPS).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, mereka berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengatur laluan khas untuk warga asing melepasi kaunter imigresen tanpa pemeriksaan rapi.
“Sebagai balasan, pegawai terbabit menerima sogokan antara RM1,800 hingga RM2,500 bagi setiap warga asing yang berjaya dilepaskan,” memetik laporan NST online.
Beliau berkata, bayaran sogokan itu dibuat secara tunai atau melalui akaun keldai dan ada pegawai yang memperoleh antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan hasil kegiatan haram tersebut.
Selain pegawai imigresen, mereka yang ditahan termasuk pemilik syarikat, pengurus serta orang awam dipercayai menjadi ejen kepada sindiket.
Hasil siasatan, SPRM turut merampas pelbagai barangan mewah termasuk 3.2 kilogram emas dan barang kemas bernilai RM2 juta, 20 jam tangan berjenama bernilai RM100,000, wang tunai RM20,000, beberapa kereta mewah BMW, sebuah rumah dan sebidang tanah.
Sebanyak 70 akaun bank juga dibekukan dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM3.3 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan hasil rampasan itu dipercayai dibeli menggunakan wang rasuah daripada sindiket berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan akan mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai yang terbabit.
“Maklumat terkini daripada Op Rentas akan disalurkan kepada AKPS bagi memperkukuh integriti serta menutup ruang salah guna kuasa di pintu masuk negara,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Sindiket ‘counter-setting’ itu dipercayai menawarkan habuan sehingga RM50,000 kepada pegawai tertentu bagi memudahkan urusan keluar masuk warga asing secara haram.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
