BERITA SEMASA

NUJM kecam intimidasi terhadap wartawan ketika sidang media, tuntut tindakan tegas

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan intimidasi yang didakwa dilakukan oleh seorang pemimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap seorang wartawan akhbar pada sidang media yang dihadiri seorang menteri, semalam.

Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohd Yusof berkata, insiden berkenaan dipandang serius kerana melibatkan campur tangan secara terbuka terhadap tugas kewartawanan, meskipun soalan yang diajukan itu dijawab dengan baik dan berhemah oleh menteri terbabit.

Menurut beliau, individu berpangkat tinggi berkenaan bertindak mempertikai serta mempersoalkan soalan wartawan yang menyentuh satu kejadian di sebuah negeri, sekali gus mencetuskan suasana tidak wajar dalam sidang media tersebut.

Lebih mengejutkan, NUJM difahamkan individu terbabit telah bertindak menarik kad media wartawan berkenaan secara kasar sejurus menteri meninggalkan majlis, di hadapan pengamal media lain.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak profesional malah boleh ditafsirkan sebagai cubaan mengugut dan menakut-nakutkan wartawan daripada menjalankan tugas rasmi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teh Athira berkata, perbuatan itu turut mengejutkan kakitangan agensi berkenaan sendiri yang berada di lokasi kejadian.

Menurut NUJM, sehingga kini tiada sebarang permohonan maaf atau penjelasan rasmi yang wajar dikemukakan oleh individu terbabit termasuk kepada wartawan berkenaan.

Sebaliknya, hanya kakitangan agensi yang menyaksikan kejadian itu tampil memohon maaf, manakala pihak agensi didakwa telah menghubungi pengurusan tertinggi organisasi media wartawan terbabit.

NUJM menegaskan bahawa sebarang bentuk intimidasi, ancaman atau penyalahgunaan kuasa terhadap wartawan di lapangan adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Wartawan menjalankan tugas berdasarkan tanggungjawab profesional dan arahan editorial, bukan untuk menyenangkan mana-mana pihak berkepentingan,” katanya.

Dalam pada itu, NUJM mengingatkan bahawa peranan media sebagai pemantau kuasa dan sumber maklumat kepada rakyat merupakan tunjang sistem demokrasi.

“Tindakan tidak beretika oleh mana-mana kenamaan kerajaan bukan sahaja mencabuli kebebasan media, malah mencemarkan imej Kerajaan MADANI yang selama ini menzahirkan komitmen terhadap keterbukaan, ketelusan dan penghormatan kepada media sebagai kuasa ketiga demokrasi,” katanya.

Sehubungan itu, NUJM menuntut penjelasan rasmi daripada pihak agensi terbabit kepada wartawan berkenaan serta menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.

NUJM turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menekan, mengugut atau menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka secara bebas, selamat dan beretika.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button