BERITA SEMASA

Najib dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun, denda RM11.4 bilion

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun serta denda berjumlah RM11.4 bilion selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak, menyebabkan Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun.

Shafie Abdullah
Shafie Abdullah

Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan penghakiman di Istana Kehakiman di sini pada malam Khamis.

“Bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), Najib dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.

Hakim turut mengarahkan semua hukuman penjara berkenaan berjalan serentak, namun pelaksanaannya hanya bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, selaras dengan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah.

Najib yang berada di kandang tertuduh dilihat tenang sepanjang prosiding pembacaan hukuman yang bermula sejak jam 9 pagi.

Mahkamah turut memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara tambahan sehingga 40 tahun sekiranya gagal membayar denda berjumlah RM11.4 bilion tersebut.

Terdahulu, mahkamah mensabitkan Najib atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram, termasuk sembilan pertuduhan menerima wang berjumlah RM2.08 bilion, tujuh pertuduhan memindahkan dana RM2.05 bilion dan lima pertuduhan menggunakan dana sebanyak RM22.6 juta.

Selain itu, bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan, mahkamah mendapati Najib menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion.

Mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button