BERITA SEMASAHIBURAN

‘My Ramadan Love Story’ singkap keindahan cinta dalam detik-detik kecil Ramadan

KUALA LUMPUR – Dalam kesederhanaan Ramadan, kadangkala cinta hadir tanpa disedari. Ia bukan sekadar kata-kata manis atau satu kisah yang besar, tetapi lahir daripada perkara kecil tetapi memberi penuh makna.

Momen seperti keikhlasan dalam pandangan mata, keheningan suasana, keindahan memori lalu atau sekadar saat berkongsi kurma ketika berbuka.

Keindahan itulah yang cuba diangkat menerusi drama vertikal My Ramadan Love Story, hasil kerjasama P-Circle dan Nuansa Sdn. Bhd, yang menampilkan kisah cinta sederhana namun sarat dengan nilai kemanusiaan dan keikhlasan.

Menurut penerbit Nuansa, Jaya Julian, idea menghasilkan drama tersebut tercetus daripada pemerhatian terhadap detik-detik kecil yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat sepanjang Ramadan.

“Ramadan adalah waktu untuk seseorang memperlahankan langkah, merenung diri serta menjadi lebih peka terhadap hati dan niat.

“Drama ini dilhamkan daripada detik-detik sederhana seperti interaksi ringkas di masjid atau sekecil momen berkongsi kurma ketika berbuka puasa. Detik seperti ini mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan antara manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis tayangan perdana dan berbuka puasa bersama media yang berlangsung di Courtyard by Marriott di sini, kelmarin.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak produksi dan penganjur untuk berkongsi kegembiraan sempena bulan yang penuh keberkatan.

Tambah Julian, keunikan My Ramadan Love Story terletak pada pendekatan penceritaannya yang lebih lembut dan tenang berbanding kebanyakan drama Ramadan yang sering dipenuhi konflik besar serta emosi yang dramatik.

“Dalam drama ini, cerita berkembang melalui detik-detik kecil yang penuh makna seperti pandangan mata, kesunyian dan perasaan yang disimpan.

“Ia mengetengahkan satu bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar seperti cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” katanya.

Julian berharap karya tersebut mampu menyentuh hati penonton kerana kisah yang dibawakan dekat dengan pengalaman hidup ramai orang.

“Kisah ini mengingatkan tentang kesabaran, menjaga batas dalam hubungan serta mempercayai bahawa setiap perkara berlaku pada waktunya,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah terkenal Osman Ali yang bertindak sebagai penerbit kreatif turut berkongsi bahawa idea drama berkenaan lahir daripada pemerhatiannya terhadap kehidupan masyarakat sepanjang Ramadan.

Menurutnya, kekuatan cerita ini terletak pada kesederhanaannya.

“Dalam drama ini, cerita berkembang menerusi detik-detik kecil yang penuh makna. Ia mengetengahkan satu bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” katanya.

Dalam masa sama, penerbitan My Ramadan Love Story juga menjadi sebahagian daripada usaha P-Circle untuk memperkasa penghasilan kandungan original tempatan yang lebih segar, moden dan dekat dengan penonton masa kini.

Majlis tayangan perdana turut meraikan anak-anak yatim dari Darul Fakir.

P-Circle merupakan sebuah syarikat produksi kandungan digital tempatan yang terlibat dalam pembangunan dan penerbitan karya hiburan kreatif, termasuk drama pendek dan kandungan vertikal untuk platform digital.

Syarikat ini memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan original yang segar, relevan serta dekat dengan pengalaman masyarakat Malaysia, khususnya melalui penceritaan yang menekankan nilai kemanusiaan dan kehidupan seharian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button