BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Muat naik video kanak-kanak, ‘Abang Bas’ ditahan polis

KLUANG – Pemandu bas dan juga TikToker yang memuat naik rakaman video kanak-kanak di dalam bas yang dipandunya ditahan polis di Simpang Renggam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pemandu berusia 24 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira pukul 2.57 pagi.

Beliau berkata, polis sebelum ini menerima laporan daripada orang awam mengenai penularan rakaman video yang dianggap menceroboh privasi kanak-kanak.

“Suspek dipercayai memuat naik rakaman video ke akaun media sosial TikTok menggunakan nama Abang Bas. Akaun berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

“Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik video ke akaun sosial miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

M Kumar berkata, susulan kes itu, polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak di dalam rakaman video berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, pemandu bas itu disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa sahaja cara secara berulang atau kerap.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

“Bagi kedua-kedua kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Semalam tular video dari akaun TikTok yang memaparkan video kanak-kanak sekolah yang dirakam lelaki berkenaan.

Suspek yang mempunyai kira-kira 600,000 pengikut di akaun berkenaan menggelarkan seorang penumpang yang merupakan murid sekolah rendah sebagai ‘crush’ atau kesayangan.

Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyifatkan tindakan tersebut mencerobohi privasi dan keselamatan kanak-kanak berkenaan.

Kejadian itu juga mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button