BERITA SEMASA

Merokok di restoran: Pegawai KKM akan beri notis kompaun kepada Tok Mat – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, memaklumkan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban yang diberi kuasa akan menemui Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini untuk menyerahkan notis dan kompaun atas kesalahan merokok di kawasan restoran.

Dr Dzulkefly dalam satu kenyataan di paltform X berkata, pejabat Menteri Luar telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Jujurnya, YBM DS Mohamad Hassan sendiri minta KKM mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa tiada sesiapa yang terkecuali daripada peraturan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok di kawasan restoran.

Beliau mengulas gambar yang dimuat naik oleh akaun @MsianInciter, yang menunjukkan seorang individu dipercayai Mohamad sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki di sebuah kedai makan ketika beliau pulang ke kawasan Parlimennya.

Akaun tersebut turut memaparkan poster Kementerian Kesihatan mengenai 28 kawasan larangan merokok.

Namun, tiada maklumat lanjut mengenai tarikh dan waktu kejadian itu, manakala nama restoran berkenaan juga tidak didedahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button