BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

MCW mahu keputusan perundangan kes Teoh Beng Hock perlu dihormati

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan semua pihak termasuk keluarga mendiang Teoh Beng Hock perlu menerima hakikat kes berkenaan telah melalui pelbagai proses siasatan dan semakan yang menyeluruh mengikut lunas undang-undang negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menghargai kenyataan penuh keprihatinan yang disuarakan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kepada keluarga mendiang pada ulang tahun ke-16 tragedi tersebut yang berlaku pada 16 Julai 2009.

“MCW berpandangan keputusan yang dibuat oleh institusi keadilan negara termasuk Mahkamah Rayuan pada 2014, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 serta siasatan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada November 2024, perlu dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keputusan Jabatan Peguam Negara pada Mei 2025 yang mengklasifikasikan kes itu sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) selepas meneliti keseluruhan bukti dan keterangan juga membuktikan proses perundangan telah dilaksanakan secara telus dan profesional.

“Tidak wajar untuk menafikan proses perundangan yang dijalankan dengan baik ini semata-mata untuk memenuhi kehendak segelintir pihak.

“Tindakan tersebut bukan sahaja tidak adil kepada pihak berwajib tetapi juga boleh menjejaskan persepsi terhadap sistem keadilan negara,” tambah Jais.

Jais juga mengakui kematian Teoh Beng Hock yang berlaku di premis SPRM adalah satu insiden tragis yang memberi kesan besar kepada masyarakat.

Namun, katanya, insiden tersebut adalah kes terpencil yang tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk melemahkan institusi pencegahan rasuah negara.

“Komitmen membanteras rasuah harus diteruskan dengan tegas dan sistematik. Sejak insiden itu, SPRM telah melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan,” katanya.

MCW turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan penuh kepada SPRM dalam usaha membanteras rasuah tanpa rasa takut atau ragu.

“Kegagalan menyokong institusi ini hanya membuka ruang kepada pelaku rasuah untuk merosakkan negara dari dalam,” tambahnya.

Terdahulu, SPRM menzahirkan rasa simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock sempena ulang tahun ke-16 tragedi kematian beliau yang berlaku di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.

Azam Baki berkata, kejadian itu merupakan satu insiden hitam yang memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button