JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia rampas 9 kg syabu, suspek lari ke hutan bakau

KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor berjaya merampas 9 kilogram dadah dipercayai syabu dalam satu serbuan bot pendatang tanpa izin (PATI) pada kedudukan 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, dekat sini.

Bagaimanapun, suspek yang dipercayai cuba menyeludup keluar dadah berkenaan ke Indonesia itu berjaya melarikan diri dengan bertindak terjun ke laut dan berenang ke kawasan hutan bakau di Pantai Kelanang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Mohd Sharenliza Ghazali berkata, selain suspek yang berjaya melarikan diri, pihaknya berjaya menahan 14 orang PATI selepas menahan bot yang dalam perjalanan ke Medan dan Dumai itu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber bewarna biru hitam tanpa nombor pendaftaran itu terdapat 9 penumpang perempuan Indonesia, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Bot dan kesemua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketulan mampat berisi dadah seberat kira-kira 9 kg yang ditinggalkan di dalam beg suspek yang melarikan diri.

Mohd Sharenliza berkata, hasil pemeriksaan lanjut di Jeti PPM menemukan dua beg yang ditinggalkan mengandungi lapan bungkusan mampat serbuk kristal putih disyaki syabu dengan berat kira-kira 9 kilogram.

Katanya, bungkusan itu diserahkan kepada pengawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Menurut salah seorang PATI, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup keluar dengan cara ini dianggarkan sebanyak RM1,700 sekepala dan mereka dikatakan hendak menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana membawa masuk atau keluar PATI dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button