BERITA SEMASA

Malaysia tegaskan kesihatan bukan alat politik, seru hormati undang-undang kemanusiaan 

GENEVA – Malaysia menyeru semua negara untuk menegakkan prinsip kemanusiaan dan menghormati undang-undang kemanusiaan dalam suasana geopolitik yang semakin tidak menentu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keselamatan petugas kesihatan, infrastruktur dan orang awam mesti dilindungi melangkaui perpecahan politik manakala rantaian bekalan perubatan mesti kekal terbuka terutamanya pada masa krisis.
“Apabila kesihatan dipolitikkan, malah lebih buruk lagi, dijadikan senjata, golongan yang paling rentan akan menanggung akibat yang paling berat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara sempena Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-79.
Mengulas lanjut katanya, di peringkat nasional, Reformasi Kesihatan MADANI sedang mentransformasikan sistem kesihatan menerusi perluasan penjagaan berasaskan komuniti dan mempercepatkan inisiatif pendigitalan bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpaksikan rakyat.
Katanya, teras kepada usaha itu adalah menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) dan kesihatan mental melalui Pendekatan Strategik “5S”.
“Pendekatan ini menyasarkan secara khusus pengurangan gula, asap/rokok, garam, stigma dan gaya hidup sedentari.
“Bagi memastikan intervensi kesihatan awam ini benar-benar berkesan, pendekatan ini disokong oleh National Blueprint for Behavioural Insights, yang menggunakan kaedah psikologi berasaskan bukti,” katanya.
Selain itu katanya, Malaysia turut berkongsi kejayaan menyatu-padukan laluan penjagaan untuk penyakit batuk kering (tuberkulosis), penyakit paru-paru kronik obstruktif (COPD) dan kanser paru-paru melalui Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan.
Katanya, dengan melaksanakan saringan berteknologi kecerdasan buatan (AI) di seluruh negara, pihaknya sedang beralih secara progresif daripada penjagaan penyakit (sick-care) kepada saringan awal dan rawatan yang proaktif.
“Melihat kepada hasil nyata pencapaian ini, Malaysia mengajak Negara-Negara Anggota yang lain untuk mencontohi model bersepadu ini demi mencapai manfaat negara yang nyata,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button