
Op Pedo: 1,501 kandungan jelik libatkan kanak-kanak dikenal pasti, 94 peratus daripadanya diturunkan MCMC
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperhebat usaha membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian menerusi penguatkuasaan berterusan dan kempen kesedaran masyarakat.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua agensi itu memaklumkan sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikenal pasti setakat 15 Jun lalu dengan 1,415 kandungan atau 94 peratus telah diturunkan hasil kerjasama penyedia platform digital serta aduan orang ramai.
“Menerusi Op Pedo yang dilaksanakan Disember lalu, seramai 13 individu ditahan dan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas di beberapa negeri,” menurut kenyataan itu.
Perbuatan menyimpan, menyebar atau mengkomersialkan kandungan berunsur penganiayaan seksual kanak-kanak adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya.
Sebagai langkah pencegahan, MCMC turut mempergiatkan Kempen Internet Selamat (KIS) dengan memberi fokus kepada pelajar, ibu bapa dan komuniti termasuk penekanan terhadap larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui e-mel aduanskmm@mcmc.gov.my, laman web https://aduan.mcmc.gov.my atau ke balai polis berhampiran.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |