BERITA SEMASA

Malaysia kutuk keras serangan Israel, AS terhadap Iran gesa henti segera konflik

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk dengan keras serangan ganas oleh Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran yang jelas melanggar prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta ketetapan undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ketenteraan itu berisiko tinggi dan telah mula mencetuskan ketegangan serta menggugat kestabilan serantau, khususnya negara-negara Teluk yang boleh terheret dalam kancah peperangan.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia sebagai negara bebas dan merdeka menyeru supaya gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan segera. Jika terdapat sebarang asas pertikaian, ia mesti diselesaikan melalui meja rundingan secara konstruktif.

“Malaysia dengan ini mengutuk keras serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran. Tindakan ketenteraan berterusan terhadap negara merdeka seperti Iran, walaupun prinsip dan dasar negara tersebut mungkin bertentangan dengan prinsip yang dipersetujui dunia, tetap tidak boleh diterima,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Anwar, kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang mahu negara anggota supaya mematuhi undang-undang antarabangsa jelas menunjukkan tanggungjawab bersama, namun Israel didakwa terus melanggar ketetapan tersebut.

“Hari ini Iran, sebelum ini Lubnan, Iraq dan Syria, manakala pembantaian terhadap rakyat Palestin dan Gaza masih berterusan. Kita tiada pilihan selain menyatakan dengan tegas bahawa tindakan ini bertentangan dengan peraturan dunia dan mesti dibantah dengan keras,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama negara-negara Teluk perlu diperkukuhkan bagi mempertahankan kebebasan rantau berkenaan, jika tidak dikhuatiri giliran serangan akan berterusan dari satu negara ke satu negara lain seperti amaran yang pernah disuarakan pemimpin Israel, termasuk terhadap Turki.

Dalam pada itu, kerajaan turut bertanggungjawab menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang terkesan akibat penutupan ruang udara dan laluan penerbangan.

Menurut Anwar, sebahagian rakyat Malaysia menetap di negara terlibat manakala sebahagian lagi merupakan pelancong serta jemaah umrah.

Selain itu, sejumlah besar rakyat Malaysia bertugas di rantau Timur Tengah dengan jumlah melebihi 29,112 orang, termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar, paling ramai di Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.

Beliau mengakui bukan mudah bagi Malaysia sebagai negara kecil dan sedang membangun untuk menyatakan pendirian sedemikian kerana tidak banyak negara yang berani berbuat demikian.

“Namun selepas berbincang dengan rakan-rakan, kita memutuskan untuk kekal konsisten dengan dasar negara yang menghormati kebebasan serta menentang sebarang pencerobohan terhadap mana-mana negara.

“Dalam kes ini, tidak boleh dipertikaikan bahawa apa yang dilakukan Israel dengan sokongan AS adalah pelanggaran prinsip dunia. Malaysia mengulangi pendirian mengutuk serangan tersebut dan menuntut supaya perbalahan dihentikan serta keamanan di rantau Teluk dan Iran dikembalikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button