
Luar Negara
WHO beri amaran ancaman global kesan ubat batuk toksik
GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terdapat ancaman global berterusan yang ditimbulkan oleh sirap ubat batuk tercemar.
WHO kini bekerjasama dengan enam lagi negara untuk mengesan ubat-ubatan kanak-kanak yang berpotensi membawa maut.
Agensi itu juga menamakan sembilan negara yang disyaki menjadi pasaran jualan sirap ubat batuk yang tercemar.
Ini selepas kematian lebih 300 bayi di tiga benua tahun lalu yang dikaitkan dengan ubat tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Pasukan WHO untuk insiden dengan ubat substandard palsu, Rutendo Kuwana, enggan menamakan enam negara tersebut, sementara siasatan masih dijalankan.
Beliau memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang tercemar masih boleh ditemui selama beberapa tahun kerana tong tercemar bahan penting mungkin kekal di dalam gudang.
Sirap ubat batuk dan ramuannya, propylene glycol, kedua-duanya mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun.
Justeru, ia disifatkan risiko yang berterusan.
Pihak yang tidak bertanggungjawab kadangkala menggantikan propylene glycol, dengan alternatif toksik, etilena glikol dan dietilena glikol kerana ia lebih murah.
Alternatif ini lebih biasa digunakan dalam cecair brek dan produk lain yang bukan untuk kegunaan manusia.
Kata Kuwana, teori kerja WHO ialah pada 2021, apabila harga propylene glycol meningkat, satu atau lebih pembekal mencampurkan cecair toksik yang lebih murah dengan bahan kimia yang sah.
Beliau tidak menyatakan di mana pembekal itu berpangkalan dan menambah bahawa rantaian bekalan yang tidak jelas telah menyukarkan perkara ini.
Jelasnya, pengeluar farmaseutikal, termasuk mereka yang didakwa menghasilkan ubat tercemar yang ditemui setakat ini biasanya mendapatkan bahan daripada pembekal luar. -ASTROAWANI
SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |