Luar Negara

Wanita maut akibat doktor tersilap cabut gigi

BEIJING – Seorang wanita di China meninggal dunia selepas mengalami kesakitan berpanjangan akibat kecuaian doktor yang tersilap mencabut giginya dalam satu prosedur di Hospital Perbandaran Anqing, wilayah Anhui.

Mangsa, Wu, 34, menjalani rawatan pada 12 Mac lalu bagi mencabut gigi geraham bongsu, namun doktor tersilap mencabut gigi yang sihat.

Lebih memburukkan keadaan, gigi itu kemudian dimasukkan semula secara paksa dan diikat dengan dawai bersama beberapa gigi lain tanpa anestesia atau ubat tahan sakit.

Akibatnya, Wu mengalami kesakitan teruk, pembengkakan muka, serta kesukaran makan sehingga hanya mampu minum air. Gangguan tidur akibat kesakitan itu turut menjejaskan keadaannya.

Wu dilaporkan telah membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan diambil.

Dia juga memuat naik video di media sosial sambil menangis, mendakwa rekod perubatannya telah diubah bagi menutup kesilapan doktor.

Pada 17 Mac, Wu kembali ke hospital untuk berbincang mengenai kejadian tersebut tetapi kemudian ditemui terjatuh dari tingkat 11 bangunan hospital berkenaan dan disahkan meninggal dunia.

Suami mangsa memaklumkan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu, sementara keluarganya menolak tawaran pampasan sebanyak 100,000 yuan (RM61,266) daripada pihak hospital.

Sementara itu, pihak hospital mengesahkan doktor yang terlibat telah digantung tugas, manakala siasatan sedang dijalankan oleh pihak kesihatan dan polis.

Kes ini mencetuskan kemarahan ramai di media sosial China, dengan lebih 100 juta tontonan serta kecaman terhadap kecuaian perubatan yang berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button