LUAR NEGARA

UNCHR dakwa 427 pelarian Rohingya maut dalam dua tragedi bot karam

JAKARTA – Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) mendakwa sekurang-kurangnya 427 etnik Rohingya maut dalam dua kes bot karam yang berlaku di perairan Myanmar, baru-baru ini.

“Sekiranya ia disahkan, kejadian tersebut akan menjadi tragedi paling dahsyat di laut tahun ini membabitkan pelarian Rohingya,” kata UNHCR dalam satu kenyataan.

Pihaknya melahirkan kebimbangan dengan laporan insiden itu dan percaya berkemungkinan terdapat lebih banyak kes yang tidak dilaporkan.

“Kami masih berusaha mengesahkan butiran sebenar kes terbabit, namun maklumat awal mendapati sebuah bot pertama yang membawa 267 orang karam pada 9 Mei, namun 66 orang terselamat.

“Sebuah lagi bot yang membawa 247 etnik Rohingya pula karam pada 10 Mei dan hanya 21 orang berjaya diselamatkan.

“Mereka yang berada di kedua-dua bot berkenaan dipercayai meninggalkan kem pelarian terbesar di Cox’s Bazar, Bangladesh atau melarikan diri dari negeri Rakhine di barat Myanmar,” kata UNHCR dalam kenyataan tersebut.

Etnik Rohingya sudah lama menjadi mangsa penindasan dan kekejaman di Myanmar menyebabkan ribuan daripada mereka sanggup bergadai nyawa untuk melarikan diri daripada konflik bersenjata di negara itu.

Kebanyakan mereka lebih gemar memilih jalan laut dan sering menaiki bot usang dengan penumpang melebihi had muatan.

Negeri Rakhine kini menjadi medan pertempuran sengit antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan iaitu kumpulan pemberontak etnik minoriti dalam perebutan kawalan ke atas wilayah berkenaan.

Berdasarkan data UNHCR, sehingga tahun 2024, seramai 657 etnik Rohingya dilaporkan maut di perairan serantau akibat bot yang dinaiki karam di laut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button