
Tiga anggota polis Indonesia terbunuh ketika serbu lokasi sabung ayam
JAKARTA – Tiga anggota polis Indonesia terbunuh ketika melakukan serbuan ke atas pusat perjudian sabung ayam haram di daerah Way Kanan, wilayah Lampung, yang terletak di hujung selatan Pulau Sumatera, malam tadi.
Laporan media tempatan menyebut, anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Ketua Polis Negara Batin Inspektor Lusiyanto, serta dua anggota dari Unit Siasatan Jenayah Way Kanan, Ketua Brigedier Petrus Apriyanto dan Brigedier Dua Ghalib Surya Ganta.
Kesemua mangsa cedera parah di kepala akibat ditembak individu tidak dikenali, dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Polis Lampung, Komisioner Yuni Iswandari memaklumkan bahawa seramai 17 anggota dikerah ke lokasi terbabit selepas menerima laporan berhubung aktiviti perjudian haram.
“Ketika tiba di lokasi, pasukan kami diserang individu tidak dikenali, mengakibatkan tiga pegawai terkorban ketika menjalankan tugas,” katanya.
Kesemua jasad mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Polis Lampung untuk bedah siasat.
Aktiviti sabung ayam masih berleluasa di beberapa kawasan di Indonesia, dan sering dikaitkan dengan rangkaian perjudian haram.
Pihak berkuasa kerap mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan itu.
Indonesia menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap perjudian, dengan Artikel 303 Kanun Jenayah menetapkan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penganjuran atau penyertaan aktiviti itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |