LUAR NEGARA

Thailand siasat dakwaan warga Israel tinggal lebih tempoh, jalankan perniagaan haram di Koh Phangan

KOH PHANGAN – Pihak berkuasa Thailand mula menyiasat dakwaan penduduk tempatan bahawa warganegara Israel memanjangkan tempoh tinggal mereka dan menjalankan perniagaan secara haram di pulau pelancongan yang terletak di wilayah Surat Thani itu, lapor portal Khaosod English, hari ini.

Kebelakangan ini, penduduk tempatan mula merujuk pulau tropika itu sebagai “Tel Aviv kedua”, sambil melahirkan kebimbangan pelancong Israel memanjangkan tempoh tinggal mereka melebihi tujuan pelancongan untuk menubuhkan perniagaan melalui proksi.

Selain itu, pelancong dari negara itu didakwa menunjukkan tingkah laku yang tidak menghormati penduduk tempatan dan pelancong lain.

Kemarahan itu turut disebarkan di media sosial hingga mencetuskan kewujudan halaman “Save Koh Phangan” yang menggambarkan kekecewaan terhadap perubahan pulau itu yang dikatakan mengikuti jejak bandar Pai di wilayah Mae Hong Son.

Satu video lama yang menjadi tular lima bulan lalu yang menunjukkan seorang pelancong wanita Israel di Koh Phangan berkata, “Wang saya membina negara kamu” selepas diminta keluar dari sebuah kedai kerana enggan menanggalkan kasut, kembali disebar luas sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dipercayai bagi memberi kesedaran orang ramai mengenai isu tersebut.

Jurucakap Polis Diraja Thailand, Leftenan Jeneral Yingyot Thepchamnong berkata, data awal mengenai warga Israel di kawasan Koh Phangan dan Koh Samui menunjukkan beberapa tangkapan telah dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk mengendalikan perniagaan sewa kereta, bekerja di luar skop permit, berniaga tanpa lesen, menjalankan aktiviti pelancongan tanpa kebenaran serta bertindak sebagai pemandu pelancong tanpa lesen.

Ketua Daerah Koh Phangan, Suriya Boonpan melaporkan bahawa setakat 23 September 2025, seramai 2,627 warganegara Israel telah memohon lanjutan visa, terdiri daripada 2,125 pemegang visa pelancong jangka pendek dan 502 pemegang visa jangka panjang (181 visa perniagaan, 30 visa persaraan, 152 visa pelajar, 998 visa tanggungan keluarga, 7 berkahwin dengan warga Thai, dan 27 kategori lain).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button