
Singapura umum RUU keharmonian kaum
SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura mengumumkan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Pemeliharaan Keharmonian Kaum di Parlimen, semalam.
Menurut MHA dalam satu kenyataan, RUU itu bertujuan untuk menyatukan dan memperkukuh kuasa kerajaan bagi mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.
Di samping itu, RUU tersebut merujuk rapat kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pemeliharaan Keharmonian Agama (MHRA) yang digubal pada 1990 untuk mengekalkan keharmonian agama.
“RUU ini mencerminkan tekad teguh kami untuk memperkukuh perpaduan kaum dan kekal bersatu sebagai satu rakyat.
“Ia mencapai keseimbangan antara memastikan wacana awam bebas daripada ucapan berunsur kebencian, sambil menyediakan ruang untuk perbincangan yang sah,” kata MHA dalam kenyataan itu.
Antara isi kandungan RUU tersebut termasuk memperkenalkan rejim Perintah Sekatan (RO) untuk menangani kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum, pendekatan berasaskan komuniti dalam menangani isu perkauman, serta langkah keselamatan untuk mengelakkan entiti berasaskan kaum digunakan sebagai saluran pengaruh asing.
Selain itu, RUU ini turut memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri mengeluarkan RO terhadap individu yang terlibat dalam komunikasi, pengeluaran atau penyebaran kandungan yang menjejaskan usaha mengekalkan keharmonian kaum di Singapura.
RO yang dikeluarkan akan melarang individu daripada berkomunikasi atau menyebarkan maklumat atau bahan tertentu, serta daripada memegang jawatan dalam lembaga pengarang atau jawatankuasa penerbitan tertentu.
Sementara itu, RUU ini turut mencadangkan supaya entiti berasaskan kaum mematuhi dasar bagi mencegah pengaruh asing, termasuk keperluan untuk mendedahkan sumbangan asing dan tanpa nama yang diterima, hubungan luar, serta komposisi kepimpinan mereka.
Langkah-langkah ini bertujuan melindungi Singapura daripada pengaruh asing berniat jahat yang mungkin mengeksploitasi isu perkauman untuk melemahkan keharmonian kaum demi mencapai agenda mereka.
Namun, RUU ini hanya terpakai kepada entiti berasaskan kaum yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Kompeten.
Sebagai permulaan, persatuan dan perniagaan yang berkaitan dengan kaum Cina, Melayu dan India akan ditetapkan di bawah RUU ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |